Majlis Perutusan Pengarah 2010
2010 telah membuka lembarannya dan membuat ramai rakyat Malaysia menanamkan azam baru untuk dilaksanakan pada tahun ini. Seperti tahun sebelumnya, Majlis Perutusan Pengarah diadakan bagi mewujudkan rasa kebersamaan dan semangat kekitaan dalam kalangan warga IPPT. Majlis yang penuh bermakna ini telah menghimpunkan seluruh warga IPPT yang terdiri daripada pelbagai kategori jawatan.
Majlis ini telah diadakan pada 11 Januari 2010 berlangsung di perkarangan Pusat Pentadbiran IPPT, Bandar Putra Bertam dan dihadiri seramai 400 orang staf.
Majlis ini dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan lagu Negaraku, Menara Ilmu dan Jalur Gemilang. Para hadirin telah dipertontonkan dengan persembahan multimedia “Imbasan IPPT 2009” yang menghimpunkan aktiviti-aktiviti lalu di samping kejayaan dan anugerah yang telah dicapai pada tahun 2009.
Amanat tahun baru 2010 telah disampaikan oleh Pengarah IPPT, Dr. Haji Ramli Saad dengan penuh bersemangat sarat dengan misi dan wawasan baru yang optimis untuk melonjakkan kecemerlangan IPPT dalam semua lapangan.
Amanat yang disampaikan oleh Pengarah IPPT sangat bermakna dalam membantu warga IPPT untuk meneruskan kerjaya mereka dengan lebih cemerlang di IPPT ini. Majlis ini diakhiri dengan pelancaran “Biohealth Science Bulletin” oleh Pengarah IPPT sendiri serta penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Mengarang Esei anjuran Pusat Ilmu dan Maklumat IPPT, Anugerah Pengguna Aktif Pusat Kecergasan dan penyampaian sijil tauliah Jurulatih Pusat Kecergasan. Diharap, tahun 2010 ini akan menjadi titik kecemerlangan IPPT dan segala yang dirancang akan dapat direalisasikan.
25 January 2010 - 9:00am