D.Y.M.M. Tuanku Canselor Rasmi Koc Penyelidikan IPPT
PULAU PINANG, 10 September 2009 – D.Y.M.M. Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Canselor USM telah berkenan untuk merasmikan koc penyelidikan dan perkhidmatan klinikal IPPT dalam Majlis Iftar 1 Siswa 1 Malaysia yang telah berlangsung di perkarangan Masjid Al-Malik Khalid USM petang semalam. Turut berangkat hadir ke majlis ini ialah Kebawah D.Y.M.M. Al-Sultan Almu'tasimubillahi Muhibbudin Tuanku Alhaj Haji Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Kedah, TYT Tun Dato' Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang dan Tun Abdullah Hj. Ahmad Badawi , mantan Perdana Menteri Malaysia.
Majlis Iftar 1 Siswa 1 Malaysia ini adalah antara aktviti yang telah dirancang bersempena dengan Upacara Konvokesyen Komemoratif USM yang telah berlangsung di Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal semalam. Dalam konvokesyen tersebut IPPT telah mengambil bahagian dengan mempamerkan koc penyelidikan kepada orang awam untuk dilawati.
Koc penyelidikan dan perkhidmatan klinikal IPPT ini menjadi kebanggaan universiti kerana ianya adalah sebuah sahaja yang wujud di Negara ini. Koc ini telah direkabentuk oleh tenaga dalaman teknikal dan klinikal IPPT dan dibina oleh syarikat terkenal ADI dari Amerika Syarikat. Kelengkapan peralatan dalamannya adalah dari Finland, Jerman dan Amerika Syarikat.
Koc ini berharga lebih RM 2 juta dan mempunyai 3 kemudahan utama untuk tujuan penyelidikan dan perkhidmatan klinikal iaitu unit mamografi, katil pemeriksaan klinikal, dan kemudahan pemeriksaan makmal. Koc ini akan diringi oleh sekumpulan pakar klinikal, pegawai penyelidik, pegawai sains, juru x-ray, jururawat dan juruteknologi makmal perubatan semasa berfungsi. Koc ini akan pergi menemui masyarakat,subjek penyelidikan dan pesakit untuk aktiviti penyelidikan kluster-kluster yang wujud di IPPT. Kluster yang akan memunafaatkan sepenuhnya kemudahan yang diberikan oleh koc ini adalah kluster onkologi, kardiovaskular, perubatan transfusi, perubatan nuklear, perubatan integratif, sains neuro, sains oral, sains imunologi dan lain-lain.
Sumber Berita : Unit Perhubungan Awam, Pejabat Pengarah IPPT pro@amdi.usm.edu.my
11 September 2009 - 9:00am